Gambar PAKK Lenggong

Gambar PAKK Lenggong

Friday, May 29, 2009

Projek Buku Skrap Berkumpulan



TEMA : ISU-ISU MASALAH SOSIAL DI MALAYSIA
Kategori A : 13 – 15 tahun
Kategori B : 16 – 17 tahun

OBJEKTIF PERTANDINGAN

Mewujudkan budaya berfikir secara kreatif dan inovatif dalam menyediakan buku skrap. Secara tidak langsung juga dengan adanya pertandingan ini dapat memupuk tabiat membaca dikalangan remaja dan pelajar sekolah.

SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN

a) Terbuka kepada semua pelajar Sekolah di kawasan Lenggong
b) Dibenarkan menghantar seberapa banyak penyertaan
c) Jumlah halaman buku skrap tidak melebihi 30 muka surat.
d) Buku skrap hendaklah ditaip langkau dua baris dengan tulisan Arial 12
e) Penyediaan buku skrap adalah berdasarkan isi kandungan, kreativiti
dan persembahan secara keseluruhan.
f) Buku skrap mestilah berdasarkan kajian terkini, asli dan ciptaan sendiri.
g) Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 10hb Julai 2009

HADIAH:

a. Hadiah Pertama : RM 100.00 dan sijil penyertaan
b. Hadiah Kedua : RM 75.00 dan sijil penyertaan
c. Hadiah Ketiga : RM 50.00 dan sijil penyertaan
d. 5 sagu hati : Hamper (RM20.00) dan sijil penyertaan

Thursday, May 28, 2009

Apakah Akta Kanak Kanak 2001.

Sebelum ada Akta Kanak-Kanak 2001, kita ada Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1994 yang lebih memberi perlindungan kepada kes penderaan ke atas kanak-kanak berikutan kes B Balasundram yang berusia 26 bulan mati akibat didera pada 15 Mei 1990. Akta itu dimansuhkan dan peruntukannya dimasukkan ke dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Selain Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991, Akta Kanak-Kanak 2001 juga menggabungkan Akta Gadis dan Wanita 1973 dan Akta Juvana 1947.

Akta Kanak-Kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (Seksyen 31).

Akta itu mempunyai lima asas, iaitu menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dan bersangkutan dengannya.

Akta ini mengiktiraf bahawa wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya ialah suatu negara dengan keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan.

Ia juga mengiktiraf bahawa seseorang kanak-kanak bukan saja suatu bahagian penting masyarakat, tetapi juga kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu.

Dengan akta ini kita mengakui seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.

Akta itu mengiktiraf bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain.

Apakah yang dimaksudkan dengan kecuaian dan pengabaian.

Apakah yang dimaksudkan dengan kecuaian dan pengabaian.

Kecuaian ataupun pengabaian tidak ditakrifkan secara khusus mengikut akta, tetapi ada dua implikasi yang timbul daripada apa yang boleh kita katakan kecuaian atau pengabaian terhadap kanak-kanak.

Pertama, jika seseorang ibu bapa atau penjaga didapati sudah abai untuk mengadakan pemeliharaan yang mencukupi untuk kanak-kanak maka kanak-kanak itu di bawah Seksyen 17 dikatakan memerlukan perlindungan dan pemeliharaan, maka di dalam keadaan ini pelindung iaitu pegawai kebajikan masyarakat dapat mengambil kanak-kanak berkenaan ke dalam jagaan sementara sehingga mahkamah memutuskan tindakan selanjutnya. Ia memungkinkan pihak berkuasa mengambil alih penjagaan kanak-kanak itu jika mahkamah berpuas hati penjaga tidak berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Jika terbukti mana-mana ibu bapa melakukan pengabaian dan terbukti bersalah ia boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Kategori ini selalunya terpakai dalam kes dengan kanak-kanak terabai hingga tidak mendapat makanan dan minuman serta pendidikan secukupnya.

Kedua, konteks di mana kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang berpatutan. Seksyen 33 memperuntukkan di mana seseorang ibu bapa atau penjaga yang didapati meninggalkan kanak-kanak tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan yang berpatutan dan selama tempoh tidak berpatutan atau dalam keadaan yang tidak berpatutan mereka dianggap melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kategori inilah yang mungkin diguna pakai bagi kes yang mengakibatkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan di rumah dan yang membolehkan kanak-kanak hilang dan sebagainya. Peruntukan ini sebenarnya bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi lebih berbentuk pencegahan, bertujuan memastikan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan keadaan semula jadi kanak-kanak yang tidak cukup matang untuk menghadapi keadaan yang mendesak.

Bagaimana dengan kes kemalangan membabitkan kanak-kanak seperti ibu bapa tinggalkan anak di rumah dan anaknya jatuh atau kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah.

Ini adalah soalan dalam dua konteks berbeza. Pertama - senario kemalangan ketika ketiadaan ibu bapa atau orang dewasa seperti inilah yang ingin kita elakkan dengan adanya peruntukkan Seksyen 33 di atas. Kanak-kanak, disebabkan ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya memerlukan pemantauan ibu bapa atau orang dewasa. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil mudah dan berserah kepada takdir bahawa anak ditinggalkan di rumah dapat menjaga diri sendiri atau lebih berat lagi, adik yang masih kecil. Di mana kita tidak mampu mengadakan pembantu untuk mengawasi anak, maka bantuan mesti diminta daripada jiran tetangga. Masyarakat sekarang semakin kompleks, tetapi institusi keluarga menjadi semakin nukleus. Dulu jarang kita dengar kejadian kemalangan di rumah kerana sentiasa ada orang tua di rumah, jika tidak nenek mungkin emak saudara yang menumpang tinggal bersama. Sekarang konsep keluarga luas (extended family) bukanlah suatu yang lazim kita dengar, maka ibu bapa dan apabila terdesak untuk mencari rezeki kedua-duanya sekali akan menghadapi kesukaran dalam mengadakan penjagaan yang sewajarnya untuk anak. Tetapi dalam kesukaran ini kita tidak boleh mengambil mudah kerana anak disebabkan kematangan mereka yang terhad mungkin terdedah kepada sebarang kemungkinan apabila ditinggalkan seorang diri. Itu perlunya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada supaya ibu bapa atau penjaga lebih peka dan prihatin, justeru dapat menghindari tragedi yang kita dengar saban hari.

Konteks kedua - kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah. Di dalam hal seperti ini memanglah tidak ada undang-undang yang terbabit melainkan jika berlaku kemalangan kereta dan pemandu yang cuai itu boleh disabitkan. Di dalam konteks yang biasa di mana anak berjalan kaki ke sekolah atau berbasikal lalu berlaku kemalangan. Ini juga dapat dihindari jika anak dididik untuk mementingkan ciri keselamatan. Contohnya, jika berjalan kaki jangan berjalan seorang diri. Sekurang-kurangnya mesti tiga empat orang. Berjalan pula jangan mengikut jalan pintas yang sunyi, sentiasa gunakan jalan ramai orang. Bila berbasikal, biar ada kawan, tetapi jangan pula bawa bersaing-saing. Jika menaiki bas atau van pula, pastikan pemandu seorang yang bertanggungjawab mengambil anak di depan pagar sekolah dan bukannya di hujung lorong dan menghantar pula di depan rumah dan menunggu hingga anak masuk ke rumah. Ini serba sedikit ‘tip’ yang boleh dipakai untuk memastikan keselamatan anak terjamin. Paling penting, sikap ibu bapa mesti meletakkan kebajikan anak sebagai keutamaan. Kadangkala, jika diamati, di dalam ‘kesibukan’ kita, kita meletakkan ‘convenience’ atau kesenangan kita terdahulu. Ini patut dielakkan.

Bagaimana akta ini memberi perlindungan kepada kanak-kanak.

Bagaimana akta ini memberi perlindungan kepada kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak 2001 diwujudkan untuk seluruh kanak-kanak di Malaysia dan digubal untuk mempertahankan hak mereka. Selain itu, ia bukan hanya untuk menghukum mereka yang bersalah, tetapi mendidik masyarakat mencegah kejadian tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak. Sebagai ibu bapa sudah tentu mahu yang terbaik untuk anak masing-masing, tetapi kadang-kadang sesuatu berlaku tanpa diduga yang dilihat sebagai pengabaian atau kelalaian pada pihak ibu bapa sendiri. Akta ini turut menyatakan beberapa hak anak yang menjadi tanggungjawab ibu bapa iaitu:

• Seksyen 30(1)(a) memperuntukkan mahkamah boleh memerintahkan ibu bapa menyempurnakan suatu bon pemeliharaan dan penjagaan yang betul untuk anak mereka dalam tempoh ditetapkan.

• Seksyen 31(1) menyentuh tanggungjawab ibu bapa menjaga kanak-kanak. Ibu bapa boleh dihukum jika gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak yang berada dalam jagaan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Ibu bapa dianggap cuai jika tidak menyediakan makanan, pakaian, perubatan, perubatan pergigian, tempat tinggal dan jagaan anak yang mencukupi serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi anak.

• Apabila ibu bapa berusaha mengawal anak mereka, tetapi masih gagal, Seksyen 46 menyatakan ibu bapa boleh memohon kepada mahkamah secara bertulis untuk mahkamah menahan anaknya di suatu tempat perlindungan, asrama atau pusat di atas alasan mereka tidak mampu mengawal anak itu.

• Seksyen 30(8) dan 40(3) menyebut jika mahkamah membuat perintah untuk ibu bapa menyempurnakan bon mahkamah dengan atau tanpa suriti boleh juga meletakkan syarat tambahan untuk memastikan keselamatan anak terjamin dengan cara ibu bapa dengan diiringi oleh anak hendaklah menghadiri bengkel interaktif di pusat tertentu, jika anak diletakkan di tempat selamat, ibu bapa hendaklah melawatnya seperti ditentukan mahkamah dan jika anak diletakkan di tempat tertentu, maka ibu bapa hendaklah berjumpa dengan guru atau guru besar sekolah untuk berbincang mengenai perkembangan anak mereka sebulan sekali.

• Seksyen 88 menyatakan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab hadir ke mahkamah sebelum kes didengar atau ketika prosiding kes membabitkan anak mereka. Kegagalan berbuat demikian jika diperintahkan mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

• Seksyen 90(11) pula memberi ruang kepada ibu bapa membuat permohonan pengurangan denda (mitigasi) atas hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap anak mereka. Ibu bapa atau penjaga boleh merayu kepada mahkamah bagi hukuman yang bakal dijatuhkan itu ringan dan setimpal dengan kesalahan kanak-kanak itu.

• Jika mahkamah menjatuhkan hukuman rotan ke atas anak mereka, maka Seksyen 91(1)(g) menyatakan ibu bapa bertanggungjawab hadir ketika anak dirotan. Mereka hendaklah menyaksikan anak mereka ketika dirotan.

• Jika seorang kanak-kanak didakwa atas kesalahan yang boleh dihukum dengan denda dan membayar pampasan, kos atau keduanya, Seksyen 94 memperuntukkan mahkamah hendaklah memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar denda, pampasan atau kos atau semuanya, kecuali mahkamah berpuas hati bahawa ibu bapa atau penjaga tidak ada atau tidak ditemui pada masa munasabah dan mereka tidak menyumbang kepada perlakuan kesalahan jenayah itu kerana cuai menjaga anak dengan sempurna.

Perkhidmatan PAKK

Perkhidmatan PAKK dan aktiviti -aktiviti yang dijalankan dijalankan oleh Pasukan Perlindungan Kanak-kanak

1. Tempat perlindungan : Menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
2. Pusat advokasi : Mengadakan ceramah/kursus pendek kepada masyarakat, ibu bapa dan kanak-kanak.
3. Pusat sumber : Menyediakanbahan bacaan/rujukan untuk kanak-kanak.
4. Pusat Pembelajaran : Kelas bimbingan/komputer/kelas keagamaan/kelas lukisan/ kelas drama/pidato/deklamasi sajak.
5. Pusat Intervensi Krisis : Menyediakan sesi kaunseling.
6. Pusat Sosial/Sukan/Rekreasi : Sukan/riadah/program kebudayaan/kesenian dan sebagainya.

Pusat Aktiviti Kanak-kanak

Penubuhan PAKK merupakan satu usaha yang menyeluruh dan lebih sistematik dan berkesan dalam usaha mencegah ke penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. PAKK merupakan program/perkhidmatan sokongan anjuran Pasukan Perlindungan Kanak-kanak.

PAKK diwujudkan mengikut keperluan setempat. Pasukan Perlindungan Kanak-kanak perlu mengnalpasti isu yang ketara dalam sesuatu kawasan dan menentukan peringkat umur kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan. Ini akan membantu dalam penyediaan program dan tempoh masa PAKK patut dijalankan. PAKK boleh dibuka sepanjang hari, atau untuk tempoh masa yang tertentu sahaja.

Premis yang digunakan boleh disewa atau didapatkan dengan percuma dangan kerjasama Majlis Tempatan, Jawatankuasa Penduduk Setempat atau bantuan/sokongan dari perseorangan.

Objektif penubuhan PAKK adalah untuk menganjurkan program dan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan dan perlindungan terutama bagi kanak-kanak yang dianiaya oleh keluarga mereka.

Keanggotaan PAKK terdiri daripada jawatankuasa Kecil yang dilantik oleh Pasukan Perlindungan Kanak-kanak. Jawatankuasa Kecil ini terdiri daripada tidak kurang dari tujuh orang ahli dan tidal lebih daripada lima belas orang.