Gambar PAKK Lenggong

Gambar PAKK Lenggong

Thursday, May 28, 2009

Apakah yang dimaksudkan dengan kecuaian dan pengabaian.

Apakah yang dimaksudkan dengan kecuaian dan pengabaian.

Kecuaian ataupun pengabaian tidak ditakrifkan secara khusus mengikut akta, tetapi ada dua implikasi yang timbul daripada apa yang boleh kita katakan kecuaian atau pengabaian terhadap kanak-kanak.

Pertama, jika seseorang ibu bapa atau penjaga didapati sudah abai untuk mengadakan pemeliharaan yang mencukupi untuk kanak-kanak maka kanak-kanak itu di bawah Seksyen 17 dikatakan memerlukan perlindungan dan pemeliharaan, maka di dalam keadaan ini pelindung iaitu pegawai kebajikan masyarakat dapat mengambil kanak-kanak berkenaan ke dalam jagaan sementara sehingga mahkamah memutuskan tindakan selanjutnya. Ia memungkinkan pihak berkuasa mengambil alih penjagaan kanak-kanak itu jika mahkamah berpuas hati penjaga tidak berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak berkenaan. Jika terbukti mana-mana ibu bapa melakukan pengabaian dan terbukti bersalah ia boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Kategori ini selalunya terpakai dalam kes dengan kanak-kanak terabai hingga tidak mendapat makanan dan minuman serta pendidikan secukupnya.

Kedua, konteks di mana kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan yang berpatutan. Seksyen 33 memperuntukkan di mana seseorang ibu bapa atau penjaga yang didapati meninggalkan kanak-kanak tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan yang berpatutan dan selama tempoh tidak berpatutan atau dalam keadaan yang tidak berpatutan mereka dianggap melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kategori inilah yang mungkin diguna pakai bagi kes yang mengakibatkan kejadian tidak diingini seperti kemalangan di rumah dan yang membolehkan kanak-kanak hilang dan sebagainya. Peruntukan ini sebenarnya bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi lebih berbentuk pencegahan, bertujuan memastikan ibu bapa supaya lebih prihatin dengan keadaan semula jadi kanak-kanak yang tidak cukup matang untuk menghadapi keadaan yang mendesak.

Bagaimana dengan kes kemalangan membabitkan kanak-kanak seperti ibu bapa tinggalkan anak di rumah dan anaknya jatuh atau kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah.

Ini adalah soalan dalam dua konteks berbeza. Pertama - senario kemalangan ketika ketiadaan ibu bapa atau orang dewasa seperti inilah yang ingin kita elakkan dengan adanya peruntukkan Seksyen 33 di atas. Kanak-kanak, disebabkan ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya memerlukan pemantauan ibu bapa atau orang dewasa. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil mudah dan berserah kepada takdir bahawa anak ditinggalkan di rumah dapat menjaga diri sendiri atau lebih berat lagi, adik yang masih kecil. Di mana kita tidak mampu mengadakan pembantu untuk mengawasi anak, maka bantuan mesti diminta daripada jiran tetangga. Masyarakat sekarang semakin kompleks, tetapi institusi keluarga menjadi semakin nukleus. Dulu jarang kita dengar kejadian kemalangan di rumah kerana sentiasa ada orang tua di rumah, jika tidak nenek mungkin emak saudara yang menumpang tinggal bersama. Sekarang konsep keluarga luas (extended family) bukanlah suatu yang lazim kita dengar, maka ibu bapa dan apabila terdesak untuk mencari rezeki kedua-duanya sekali akan menghadapi kesukaran dalam mengadakan penjagaan yang sewajarnya untuk anak. Tetapi dalam kesukaran ini kita tidak boleh mengambil mudah kerana anak disebabkan kematangan mereka yang terhad mungkin terdedah kepada sebarang kemungkinan apabila ditinggalkan seorang diri. Itu perlunya kita menguatkuasakan undang-undang yang ada supaya ibu bapa atau penjaga lebih peka dan prihatin, justeru dapat menghindari tragedi yang kita dengar saban hari.

Konteks kedua - kemalangan berlaku ketika anak ke sekolah. Di dalam hal seperti ini memanglah tidak ada undang-undang yang terbabit melainkan jika berlaku kemalangan kereta dan pemandu yang cuai itu boleh disabitkan. Di dalam konteks yang biasa di mana anak berjalan kaki ke sekolah atau berbasikal lalu berlaku kemalangan. Ini juga dapat dihindari jika anak dididik untuk mementingkan ciri keselamatan. Contohnya, jika berjalan kaki jangan berjalan seorang diri. Sekurang-kurangnya mesti tiga empat orang. Berjalan pula jangan mengikut jalan pintas yang sunyi, sentiasa gunakan jalan ramai orang. Bila berbasikal, biar ada kawan, tetapi jangan pula bawa bersaing-saing. Jika menaiki bas atau van pula, pastikan pemandu seorang yang bertanggungjawab mengambil anak di depan pagar sekolah dan bukannya di hujung lorong dan menghantar pula di depan rumah dan menunggu hingga anak masuk ke rumah. Ini serba sedikit ‘tip’ yang boleh dipakai untuk memastikan keselamatan anak terjamin. Paling penting, sikap ibu bapa mesti meletakkan kebajikan anak sebagai keutamaan. Kadangkala, jika diamati, di dalam ‘kesibukan’ kita, kita meletakkan ‘convenience’ atau kesenangan kita terdahulu. Ini patut dielakkan.

0 comments:

:a: :b: :c: :d: :e: :f: :g: :h: :i: :j: :k: :l: :m: :n:

Post a Comment